29 November, 2012

Assalamualaikum Cinta

بسم الله الر حمن الر حيم


Indahnya cinta jika ia disulami sutera kasih sayang yang berpaksikan serta bersandarkan pada Al-Quran dan Sunnah. Bercerita tentang cinta, teringat penulis dengan mutiara kata ini: “Cintakan manusia, manusia akan mati. Cintakan Allah, cinta itu akan kekal abadi kerana Allah tidak akan mati.” Allahumma solli a’la Saidina Muhammad. Untunglah hamba-hamba Allah yang tidak jemu meletakkan cinta di tangga teratas buat Allah swt. Ya, cinta Allah lah cinta yang paling ‘High Class’. Allah Maha Pengasih, Maha Penyayang, sesungguhnya tiada yang lebih baik cintanya melainkan cinta dari-Nya. Jika ingin mencintai dan dicintai Allah, kita perlulah senantiasa mengingati-Nya. 
Firman Allah swt yang bermaksud:
”Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah lah hati menjadi tenteram.” (Surah Ar Ra’du : 28)
Apabila hati tenteram mengingati Allah swt, semakin mudah kita menyemai cinta terhadap segala suruhan Allah dan membenci segala larangan Allah swt. Oleh itu, segumpal darah dalam tubuh kita yang dipanggil hati ini perlu dipelihara sebaiknya, kerana di situ lah terbitnya rasa cinta. Semakin sebati Allah di jiwa kita, semakin terurus dan tersuluh matlamat kehidupan kita sebagai hamba Allah. Allahumma solli a’la Saidina Muhammad.
Antara cara-cara untuk mengingati Allah swt adalah seperti berikut:
· Zikrullah (menyebut dan memuji Allah swt)
· Solat (solat wajib dan sunat)
· Istighfar dan meminta keampunan dari Allah swt
· Melakukan amar ma’ruf nahi mungkar
· Menghindari perbuatan ma’siat
· Bersahabat dengan orang-orang yang berilmu dan soleh
· Membaca, mempelajari dan mengamalkan Al-Quran
· Bersyukur dan yakin dengan bantuan Allah
· Merenung tanda-tanda kebesaran Allah
 

             “Selangkah kita menghampiri Allah, seribu langkah Allah akan menghampiri kita.” Bayangkan pula betapa hebatnya cinta Allah buat kita jika kita mempunyai walau sekelumit rasa cinta buat-Nya. Allahuakbar, nescaya kita tidak tertanggung kehebatan cinta Allah.
Doa memohon teman yang dicintai Allah:
“Ya Allah sesungguhnya aku memohon kepadaMu cintaMU dan cinta orang-orang yang mencintai-Mu dan aku memohon kepada-Mu perbuatan yang dapat menghantarkanku kepada cinta-Mu. Ya Allah jadikanlah cinta-Mu lebih kucintai daripada diriku dan keluargaku serta air dingin.”(Hadith riwayat Tirmidzi)
Kesimpulannya di sini, jika kita letakkan cinta pada ibu bapa, adik-beradik, sahabat-sahabat kerana Allah, cinta tersebut akan membuahkan keberkatan, ketenangan serta kebahagian buat pemilik-pemilik cinta tersebut. Penulis menyeru sahabat-sahabat supaya saling berkasih-sayang sesama manusia semata-mata kerana Allah swt, nescaya kita akan memperolehi kebahagiaan yang abadi dan kemanisan cinta sebenar yang tidak terperi. Allahu’alam  

 السلام عليكم ورﺤﻤﺔ الله وبرﮑﺘﻪ

p/s:~ credit to Meniti Cinta Illahi 

27 November, 2012

detik itu.... kita berjarak...

بسم الله الر حمن الر حيم


YA ALLAH,
KAU tahu betapa aku sangat terluka,
melihat dia berlagak biasa,
sedang aku tak mampu berbuat apa…
YA ALLAH,
berilah kekuatan pada dia,
semoga dibalik semua ini akan menguatkan dia,
biar semua ini menjarakkan kami,
namun jangan sampai semua ini…
menjarakkan dia denganMU..
membuat dia berjauh dariMU..
membuat dia berburuk sangka padaMU…
jangan YA ALLAH…
jangan….
aku mohon,
peliharalah dia,
peliharalah dirinya,
peliharalah hatinya,
semoga tetap dalam lindungMU….
sesungguhnya ENGKAU lah sebaik baik penjaga..
…”Maka Allah adalah sebaik-baik Penjaga dan Dia adalah Yang Maha Penyayang di antara para penyayang” (Surah Yusuf, ayat 64)

p/s:~ credit to seseorang

.

kita

tak sangka kan?
kita jumpa,
kita kenal,
kita kawan,
kita berhubung.
tapi kemudian.
kita menjarak,
kita tak lagi berhubung,
kita tak lagi berkawan.
tak sangka kan,
kita sekarang,
seolah-olah dua manusia yang tak pernah kenal satu sama lain.
ya, pelik rasanya berlagak biasa.
ya, kelakar rasanya berpura-pura seolah-olah tiada apa yang berlaku.
tapi,
siapa sangka,
mungkin ada hikmahnya kan? :')

p/s:~ credit to seseorang..

18 November, 2012

TIDUR BUKAN SEKADAR MEMEJAMKAN MATA


 Sering saya nasihatkan anak-anak (remaja) dengan nasihat yang diberikan oleh guru-guru saya. Antaranya, jika teratur tiga perkara ini maka teraturlah hidup kamu. Tiga perkara itu adalah waktu solat, waktu makan dan waktu tidurmu. Alam remaja, alam yang begitu dinamik, aggresif dan ‘adventurous’ – alam transisi yang serba kemungkinan. Remaja tidak suka diatur…Pada waktu itu sering peraturan dianggap satu ‘kekalutan’.

Namun, anak-anakku dengar pesan ini… atur ketiga-tiga perkara ini. Atur solat demi kesihatan jiwa mu. Atur makan demi kesihatan badan mu. Dan atur tidur demi kesegaran dan ketangkasan minda, fizikal dan mentalmu. Kali ini beri laluan untuk saya bercakap tentang tidur…kerana…  TIDUR BUKAN SEKADAR MEMEJAMKAN MATA.

Dalam Al-Quran, Allah SWT telah menyatakan bahawa malam Allah khususkan untuk tidur. Jadi, kita gunakanlah masa itu untuk tidur. Ini fitrah asal manusia. Manusia perlukan tidur sepertimana manusia perlukan makanan, minuman dan lain-lain. Tidak ada manusia yang sanggup melawan fitrahnya.

Jika kita melawannya, juga kita akan kalah. Jadi, tidak hairanlah tanpa tidur pada waktu malam kita akan keletihan pada siang hari. Dari segi kesihatan pula tidur yang cukup adalah asas dalam kesihatan badan. Manusia normal memerlukan 6 hingga 8 jam tidur dalam sehari.

Masalahnya, ada remaja yang suka berjaga larut malam. Istilah yang selalu kita gunakan untuk mereka ini ialah, ‘kutu embun’. Malam-malam mereka gunakan untuk aktiviti-aktiviti yang tidak sihat seperti lumba haram, bergaul bebas, berbual kosong, video games, dan sebagainya. Percayalah… ini memudaratkan. Seeloknya, tidur awal dan bangun awal. Manfaatkan waktu selepas Subuh yang berkat itu.

Manusia selepas Isyak dikatogerikan kepada tiga. Pertama, yang mengisi malam-malamnya dengan aktiviti yang berfaedah seperti menelaah pelajaran, berbincang sesuatu yang bermanfaat dan lain-lain amal kebaikan. Mereka ini mendapat pahala.

Yang kedua, mereka yang melakukan perkara-perkara harus seperti dan terus tidur., mereka ini tidak memperolehi apa-apa, berdosa pun tidak berpahala pun tidak. Tetapi yang malangnya ialah mereka yang menggunakan waktu dengan aktiviti-aktiviti maksiat, maka mereka ini berdosa. Jadi, gunakanlah akal dan hati kita untuk menimbang, kita ini dalam golongan yang mana?

Remaja punya tanggungjawab asasi, maka dahulukan dan utamakanlah tanggungjawab yang asasi. Apakah tanggungjawab yang utama? Ya kebanyakannya para remaja masih belajar. Setelah itu, jika ada masa, ada tenaga dan ada kesempatan maka eloklah dibuat amalan-amalan sunat seperti qiamullail dan sebagainya. Cuma harus diingatkan bahawa keutamaan tetap pada menuntut ilmu, jangan sampai kita bangun untuk solat tahajjud pada malam harinya tetapi mengantuk hingga tidak dapat belajar dengan baik pada esok paginya.

Itu kurang tepat! Kewajiban belajar lebih utama daripada sembahyang sunat. Tapi ingat… yang saya katakan ialah solat sunat, tetapi jika solat wajib tidak ada kompromi. Ia wajib dilaksanakan dalam apa jua keadaan. Jangan tinggalkan solat wajib. Solat Subuh misalnya, jangan sekali-kali ditinggalkan atas alasan tidak cukup tidur…

Masa yang diperuntukan untuk tidur sekurang-kurangnya 6 jam yakni ¼ daripada umur kita. Ertinya jika kita hidup 40 tahun, 10 tahun telah dihabiskan untuk tidur. Pertama, hendaklah kita jaga niat, kaedah serta adab-adabnya. Sebelum tidur hendaklah kita niatkan untuk mendapat kerehatan, agar kita dapat bangun untuk solat Subuh pada hari keesokkannya. Sebaik-baiknya kita berwudhuk.. Air wudhuk itu akan menyejukkan hati kita, merehatkan emosi kita dan menstabilkan fikiran kita. Bacalah doa tidur, yang maksudnya, segala puji Allah yang menghidupkan dan mematikan daku.

Ya, menyentuh soal ini teringat pesanan yang pernah disampaikan oleh Rasulullah SAW kepada isterinya Siti Aishah RA. Baginda diriwayatkan telah berkata, wahai Aishah, janganlah engkau tidur sehingga kau melakukan 4 perkara ini, pertama, setelah habis membaca seluruh isi Al-Quran. Kedua, mengambil aku dan para Nabi sebagai penolongmu di hari kiamat. Ketiga, sehingga semua orang Islam redha dan memaafkanmu. Keempat, hingga kau selesai mengerjakan umrah.

Apabila Saiyidatina Aishah bertanya bagaimana? Rasulullah SAW menjelaskan bahawa jika kita tidak membaca surah Al-Ikhlas 3 kali samalah fadhilat dengan membaca keseluruhan isi Al-Quran. Bila kita berselawat ke atas nabi Muhammad SAW dari para nabi yang lain, maka mereka nanti akan membela keadaan kita di hari kiamat. Bila kita beristighfar dan memohon ampun untuk orang mukmin maka mereka juga akan redha terhadap kita kelak. Dan dengan membaca Allah hu Akhbar, Alhamdullilah, dan Subhanallah, samalah pahalanya seperti kita mengerjakan umrah.

Kemudian tidurlah dengan baik, seeloknya mengiring dengan pipi mengiring ke kanan dan muka menghadap kiblat. Kalau terlentang, letakkan kaki kanan di atas kaki kiri. Itu sebelum atau awal-awal nak tidur.. dan apabila sudah tidur tentulah gaya bebas (kita tidak ingat apa-apa lagi). Tapi, elakkan daripada tidur meniarap, Rasulullah melarang sahabatnya tidur meniarap kerana itu gaya tidur ahli neraka.

Ya, itulah sebahagian cara tidur dalam Islam. Jika kita lakukan Insya-Allah Allah akan redha kepada kita sepanjang waktu kita tidur itu. ertinya , Allah kurniakan pahala. Begitulah pemurah-Nya Allah, Dia Maha Pengasih kepada kita. Jadi, bagi remaja apa salahnya kalau kita tidur dengan adab-adab yang saya sebutkan tadi.. Siapa tak mahu, rehat pun dapat.. Jika 40 tahun kita hidup, 10 tahun kita mengaut pahala dalam tidur sahaja.

Pada keseluruhannya, kisah ini membuktikan kehebatan dan kekuasaan Allah. Pertama, Allah mampu menidurkan seorang manusia lebih lama daripada biasa. Ertinya, hukum biologi dan fisiologi telah Allah batalkan dalam kes ini. Logiknya, tanpa makanan, tanpa pergerakan, dan tanpa buang air, tentulah pemuda-pemuda itu akan mati.

Kedua, ini membuktikan betapa Allah membela pemuda-pemuda yang beriman dengan cara yang cukup mudah. Iaitu cara tidur. Bayangkan Raja dan bala tenteranya telah memburu pemuda-pemuda beriman ini untuk dibunuh.. mereka begitu terdesak. Tetapi kuasa Allah telah menidurkan mereka. Setelah mereka bangun semuanya telah berubah. Inilah bantuan yang telah Allah berikan untuk orang-orang yang beriman.

Dalam Al-Quran Allah telah menyatakan bahawa Dia tidak rasa mengantuk apatah lagi tertidur. Ertinya, Allah sentiasa berjaga. Dia tidak letih, tidak rasa lapar, tidak rasa bosan, dan tidak rasa sakit sepertimana manusia. Mengantuk ini melambangkan kekurangan dan kelemahan, Maha Suci Allah daripada sebarang kelemahan dan kekurangan. Oleh itu, atas sifat-sifat kesempurnaan-Nya, Allah tidak tidur walaupun sedikit.

Ada banyak jenis tidur…ada yang tidur mati. Ini tidur habis-habisan. Tak sedar diri. Macam orang mati. Orang ini kalau kita ingin kejutkan tak boleh main panggil, tapi kena gegar, kena siram baru boleh. Kalau tidur ayam, kejap tidur, kejap tidak,. Mudah terjaga , tertidur tetapi macam tidak tidur. Tidur ayam ini lawan kepada tidur mati tadi.

Apa maksud saya menceritakan dua jenis tidur ini? Tidur ini lambang kelemahan insan. Kalau tidur mati tadi, kalau orang datang nak bunuh senang sahaja. Manakala, yang tidur ayam pula bahaya juga, kalau pandu kereta Insya-Allah akan menemui kemalangan. Jadi, di sinilah rasionalnya Allah itu tidak tidur. Allah sentiasa dalam keadaan jaga kerana perjalanan alam ini dan seluruh makhluknya sangat bergantung kepada-Nya.

Allah diperlukan oleh setiap makhluk pada setiap masa dan ketika. Penglihatan, pendengaran dan lain-lain sifat kesempurnaan Allah sentiasa berperanan. Allah tidak perlukan tidur, kerana Dia Maha Kuat dan tidak perlu berehat. Pernah diceritakan bagaimana pada suatu ketika Nabi  Musa AS pernah terdetik bagaimana kalau Allah tertidur… Ini bukan soal keraguan hati tetapi sekadar lintasan hati.

Untuk menjawabnya, Allah memerintahkan Nabi Musa membawa segelas susu dan menunggu-Nya di suatu tempat. Lama benar Nabi Musa menunggu akhirnya baginda mengantuk, dan bila mengantuk, segelas susu di tangannya pun terlepas dan lalu pecah.. Ketika itulah Allah menjelaskan bahawa keadaan itulah yang akan terjadi kepada dunia dan segala isinya jika Allah tertidur. Maha Suci Allah!

Pencuri, perompak dan lain-lain jenis penjenayah, selalunya mengambil kesempatan sewaktu orang lain sedang tidur atau alpa. Begitu juga orang orang yang melakukan maksiat, selalunya secara sorok-sorok. Misalnya, pada waktu malam, di tempat tersembunyi, ketika ‘black out’ dan sebagainya.

Ini semua kerana mereka ini ingin mengelakkan diri daripada penglihatan dan pendengaran orang. Tetapi, sebaliknya, jika mereka yakin bahawa Allah tidak tidur, sentiasa berjaga, sentiasa melihat dan mendengar, maka mereka tidak akan berani melakukan kejahatan. Walaupun orang lain sudah tidur, lampu telah terpadam, hari telah gelap…tetapi mereka yang benar-benar yakin bahawa Allah tidak tidur, tetap tidak akan melakukan kejahatan. Inilah kesannya kalau kita benar-benar yakin yang Allah itu tidak tidur..

Manusia begitu lemah. Pada ketika yang dia hendak berjaga, adakalanya dia mengantuk dan terlelap. Ada masanya dia hendak tidur, tetapi mata terus berjaga dan gelisahlah dia kerana tidak boleh tidur. Tidur itu sesungguhnya adalah separuh daripada kematian – kerana orang yang tidur tidak mampu mempertahankan diri daripada sebarang bahaya. Esok paginya apabila dia terjaga, dia seolah-olah dihidupkan semula.

Justeru Rasulullah mengajar kita berdoa dengan lafaz ini sebaik bangun daripada tidur… Segala pujian bagi Allah yang menghidupkan kami selepas  mematikan kami (tidur). Dan kepadaNyalah kami akan dikembalikan. Ya, tidur itu sayugianya mengingatkan kita kepada kematian yang hakiki, kemudian kita akan dibangkitkan semula menuju padang perhimpunan yang besar… Padang Mahsyar. Di sanalah nanti kita semua akan dikembalikan dan dihimpunkan.

Awas anak-anak ku, jangan leka, jangan alpa…mungkin tidur mu nanti adalah tidur yang selama-lamanya.Sudahkah kita bersedia?

~Ustaz Pahrol Mohd Juoi~

09 November, 2012

Akulah Singa Itu!

بسم الله الر حمن الر حيم


Kubersyukur kerana menjadi khalifah di muka bumi ini
Hidup ini akan kuteruskan dengan penuh semangat dan tabah
Walau apa jua badai yang datang
Ingin kujulang impian, menegakkan cita-cita
Aku akan bangun dari segala kesusahan
Hari ini aku akan berlari dengan satu tujuan
Yang jitu menggarap seluruh kejayaan
Biarpun sejarah silamku pernah silap dan gagal
Dan itu adalah aku
Kini kuhimpun segalanya
Dan kuseret untuk merancang
Satu kemenangan sebagai kemuncaknya
Akulah singa itu!
Hari ini aku berlatih dan bertatih
Biar sasaranku tepat, tegas, cekap, pantas dan rasional
Sempadan pada cita-citaku ialah Allah dan Rasul-Nya
Benar pada segala matlamat, hakikat dam makrifat
Akulah singa itu!
Santun pada segala adat alam dan fitrah kejadian
Biarku menjadi insan yang merangkul setiap kejayaan
Seperti Sayidina Umar al-Khattab
Singa yang dikeluarkan oleh Rasul daripada dirinya
Atau Umar Abdul Aziz
Menjadi singa kebenaran dan ketelusan
Kini aku sudah sedia memburu
Untuk manggapai sasaran, bebanan dan tanggungjawab
Dan risiko ini memaksa aku menjadi seperti seekor singa
Tafakur sebentar aku di sejadah peta dunia
Membayangi kehebatan Ilahi
Menikmati anugerah-Nya
Menjalankan tugas sebagai khalifah
Ibarat singa yang gagah perkasa
Di dunia belantara.
-Rusnah Abu Samah-



 السلام عليكم ورﺤﻤﺔ الله وبرﮑﺘﻪ
sehingga berjumpa lagi........jadilah warga Malaysia yang Cemerlang....

07 November, 2012

Persahabatan Antara Lelaki dan Wanita

بسم الله الر حمن الر حيم

Sahabat mempunyai kedudukan yang begitu khusus dalam hati seseorang. Apa masalahnya apabila seseorang itu bersahabat dengan lawan jenisnya? Bolehkah kita bersahabat dengan jejaka atau sebaliknya?



Apabila berlaku persahabatan antara lelaki dan wanita sesungguhnya tidak akan ada jaminan hubungan ini benar-benar tulus dan murni. Sekurang-kurangnya, pasti ada harapan dan rasa memiliki. Tidak kira pada si jejaka atau wanita atau kedua-duanya sekali. Mesti ada kemungkinan walau pun pada kadar yang sedikit. Hubungan seumpama ini mempunyai batas atau dinding yang teramat nipis. Terlalu sukar dan rumit untuk membezakan adakah hubungan ini benar-benar sekadar persahabatan atau sudah mula menjurus kepada saling mencintai yang mengharapkan wujudnya hubungan hati dan fizikal. Suatu yang amat sukar dihindari untuk suka yang lebih dari sekadar sahabat. Maka mulalah si jejaka atau wanita itu mengangan-angankan “Kalaulah dia menjadi pendamping dalam hidupku”. Ketika inni sesungguhnya “tazyin syaitan” telah berjaya memainkan peranannya. Bisikan indah dari musuh utama dan pertama (syaitan) telah merempuh masuk ke dalam hati yang telah sedia ada dalam keadaan lemah dan longgar pertahanannya.



Berhentikan Proses Seterusnya!



Oleh itu, para muslimin dan muslimat yang dihormati, jika perkenalan kita sudah berubah menjadi simpati segeralah disusuli dengan pernikahan jika mahu proses persahabatan berlanjutan. Inilah persahabatan yang ideal. Manakala persahabatan di luar akad pernikahan bukanlah persahabatan ala sahabat (Rasulullah SAW).



Sebagaimana yang terjadi antara Ali dan Fatimah. Setelah pernikahan antara Ali dan Fatimah, maka Fatimah pun berterus terang kepada Ali. “Wahai Ali, sebelum aku bernikah dengan engkau di Kota Mekah ini, ada seorang pemuda yang menjadi idola di hatiku. Aku sangat inginkan kelak dia menjadi suamiku. Tapi semuanya itu aku simpan di dalam hatiku.” Kata Fatimah. “Kalau begitu engkau menyesal menikahi aku? Tanya Ali. “Tidak, kerana pemuda itu adalah engkau.” Jawab Fatimah.



Oleh itu, di dalam Islam kita dibenarkan menilai dan menyukai pemuda yang soleh namun ia tidak diluahkan dan memadai disimpan di dalam hati. Sesungguhnya cinta itu boleh ‘menghinggapi sesiapa sahaja’ termasuk orang yang beriman atau para pendakwah. Apabila batas-batas pergaulan dan percampuran antara lelaki dan perempuan dilanggar, proses persahabatan sebegini akan terus bergulir dan tak mungkin dihindari. Oleh itu tidak mustahil jika para pendakwah lelaki dan perempuan juga turut terjebak untuk saling rindu-merindui…..



Sudah terlanjur digosipkan….



Pengendalian diri ketika percampuran antara lelaki dan perempuan adalah suatu yang abstrak. Kita tidak mampu mengukurnya. Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui. Adakalanya, kita berjauhan dari segi fizikal tetapi hati ‘berdegup’ hebat. Ada juga yang fizikalnya berdekatan tetapi hatinya biasa sahaja. Namun ini bukan bermakna kita dibolehkan untuk bergaul bebas.



Bagaimana pula jika sudah terlanjur digosipkan, daripada fitnah, baik nikah sahaja. Inilah salah satu kesilapan besar. Ia bukanlah keputusan bijak. Tindakan yang diambil dengan menikahi rakan tersebut akan membenarkan sangkaan dan tohmahan orang selama ini. Tindakan sewajarnya yang mesti diambil adalah segera hentikan hubungan tersebut. Jauhilah fitnah dengan mengendalikan hati, namun ketika hati tak terkendalikan jagalah jarak fizikal. Hindarilah perkara-perkara yang mengundang fitnah seperti memberikan hadiah, sering berdua-duaan, sering telefon dan seumpamanya.



Jangan Terperangkap



Hati manusia memang mudah berubah. Pagi kata benci petang pula kata rindu. Sesungguhnya hati merupakan bejana yang paling penting. Ia merupakan kunci segala-galanya. Hati mestilah dikendali dengan sebaik-baiknya. Manakala pandangan pula titik langkah awal yang amat perlu diawasi kerana dari ‘mata jatuh ke hati’.



Sebagaimana yang berlaku pada Ibnu Abbas, ketika menunaikan haji tergoda melihat seorang wanita, maka spontan Nabi SAW menegur dan memalingkan pandangannya dari wanita tersebut. Lalu bersabda:”Jangan kau ikuti pandangan itu dengan pandangan yang lain.”



Ketika inilah peranan iman yang kuat serta aktiviti “tazkiyatun nafs” (penyucian jiwa) perlu dimainkan. Di saat iman sedang merudum, sebaik-baiknya, minimakanlah aktiviti yang melibatkan lawan jenis. Walaupun dalam aktiviti keislaman, yang perlu dijaga adalah diri dan keimanan bukan sekadar jarak sehingga tidak berkomunikasi. Ingatlah, jangan sekali-kali ketika mengibarkan bendera kegiatan Islam dalam masa yang sama menjatuhkan Islam.



Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui kelemahan insan. Lalu Dia telah mengingatkan orang yang beriman serta umat Islam seluruhnya agar menjaga pandangan dengan firman-Nya: “Katakanlah kepada orang-orang beriman lelaki, supaya mereka menundukkan pandangan dan menjaga kehormatan. Itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa-apa yang mereka usahakan. Katakanlah kepada orang-orang beriman perempuan, supaya mereka menjaga kehormatannya dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasannya, kecuali apa yang biasa lahir daripadanya…..” (an-Nur:31-32)



Mencegah itu lebih baik dari mengubati. Jagalah batas-batas pergaulan agar tidak terlanjur memendam rasa. Berusahalah membataskan komunikasi dengan urusan-urusan yang penting, jangan sekali mencari alasan dan agenda untuk bertemu. Jangan sekali membuat agenda baru agar dapat berinteraksi kembali. Sesunguhnya jika ini tidak dikawal ia merupakan permulaan tidak berdisiplinnya kita dalam mengamalkan Islam.


~perkongsian~


 السلام عليكم ورﺤﻤﺔ الله وبرﮑﺘﻪ
sehingga berjumpa lagi........jadilah warga Malaysia yang Cemerlang....

06 November, 2012

hanya aku

بسم الله الر حمن الر حيم


Buat seorang insan yang aku sayang
Di daerah sepi ini kita bertemu
Pertemuaan mula masing-masing diam kaku berat melontar kata
dan tanya
Hubungan akrab mula terjalin
Kita susur jalan-jalan liku
Mencari pelangi indah
dalam terang
dalam kabus
 dalam gelap
 tanpa lelah
Ingat lagi…
Kita sama-sama berangkat ke satu daerah
Kita cari nilai diri
Kita cari bahagia
Kita cari sesuatu yang berharga
Walau kita tewas
kita sabar kita yakin kita boleh
capai dan gapai
Kita duduk sama-sama berfikir, tenung dan rancang
Buang sebahagian yang pudar dan berkabus
namun
Kita tetap akrab dalam semua
Ceria walau gundah
Senyum dibibir
 menangis dihati
Suatu ketika kita betul tewas
Namun
Kita bangkit
Bangkit dengan sejuta persoalan
Siapa dirimu dan siapa diriku
Lakonan di atur dalam mencari sebuah
kepastian
Akhirnya…
Terjawab persoalan
Pertanyaan
 kegusaran
Lajunya saat lajunya derai
Hancur luluh
Tapi….
Kenangan
Kebahagiaan
Yang pernah dicipta tanpa fikiran
buat kembali sedihnya….
Kau jejak jua daerah sana
Dalam seribu kepayahan
Mungkin kerana
sayang
Tidak kau ambil peduli
Asalkan dirimu terdetiik bahagia di daerah itu
Aku hulurkan jua
Kerna itu membahagiakan kita
Pengorbanan ada juga saat bahagia
Namun duka yang lebih
Pelangi yang kita kejar dulu
Makin jauh
Makin pudar
Kita rebah tersadung akar luka
Luka itu hanya aku……


السلام عليكم ورﺤﻤﺔ الله وبرﮑﺘﻪ
sehingga berjumpa lagi........jadilah warga Malaysia yang Cemerlang....