15 Jun, 2011

Kisah 2 Biji Benih

Dua biji benih pokok bunga keembung telah disemai sebelah menyebelah di sebuah taman bunga yang subur tanahnya.

Biji benih pertama berkata, "Aku mahu bercambah dan tumbuh membesar!

Aku mahu akarku tertanam sedalam-dalamnya di dalam tanah sehingga melepasi kerak bumi.

Aku mahu kuntuman bungaku mekar sehingga dapat kurasai kehangatan cahaya matahari dan menggembirakan si anak gadis apabila melihatku."

Biji benih kedua pula berkata, "Tidak! Aku takut untuk membesar.

Jika aku tumbuh membesar, aku tak tahu apa yang akar aku akan tempuhi di dalam kegelapan tanah.

Jika bungaku mekar berkembang, para siput akan menggigit aku! Anak-anak kecil akan memetik aku! Tidak! Tidak! Tidak...! Aku tidak sanggup. Lebih baik aku menunggu waktu dan masa yang lebih selamat."

Maka, biji benih kedua itu pun menunggu waktu yang selamat untuk bercambah.

Tiba-tiba kedengaran bunyi kokokan ayam dari jauh. Semakin lama semakin dekat bunyi tersebut. Ternyata ayam tersebut sedang mencari makan.

Sambil mengais-ngais tanah, ternampak lah ayam tersebut akan biji benih kedua tersebut lalu dimakannya.

Kesian...

Wahai kawan-kawanku, beranilah menghadapi cabaran. Cabaran mematangkan cara kita berfikir dan bertindak.
Jangan takut menzahirkan cara hidup Islam yang bagaikan bunga mekar di taman.
Jangan takut menambah iman di dalam hati yang bagaikan tumbuhnya akar di dalam tanah... kerana jika anda takut dan kecut... anda akan hancur dimakan zaman.

Buka minda... buka hati... kenali potensi diri!

Sumber asal: iluvislam

10 Jun, 2011

Imam Dan 20 Sen

Beberapa tahun dahulu, ada seorang Imam yang berasal dari Thailand telah dipanggil ke Malaysia untuk menjadi Imam tetap di sebuah masjid di Malaysia. Telah menjadi kebiasaan Imam tersebut selalu menaiki bas untuk pergi ke masjid.

Pada suatu hari, selepas Imam tersebut membayar tambang dan duduk di dalam bas, dia tersedar yang pemandu bas tersebut telah memulangkan wang baki yang lebih daripada yang sepatutnya sebanyak 20 sen.

Sepanjang perjalanan Imam tersebut memikirkan tentang wang 20 sen tersebut.

"Perlukah aku memulangkan 20 sen ni?" Imam tersebut bertanya kepada dirinya.

"Ah... syarikat bas ni dah kaya... setakat 20 sen ni.. nak beli tosei pun tak cukup," kata Imam tersebut.

Apabila tiba di hadapan masjid, Imam tersebut menekan loceng dan bas tersebut pun berhenti.

Ketika Imam tersebut ingin turun sahaja daripada bas, tiba-tiba seakan-akan dirinya secara automatik berhenti dan berpaling ke arah pemandu bas tersebut sambil memulangkan wang 20 sen tersebut.

"Tadi kamu beri saya wang baki terlebih 20 sen", kata Imam tersebut kepada pemandu bas tersebut.

"Owh... terima kasih! Kenapa awak pulangkan 20 sen ni.. kan sedikit je nilainya," pemandu bas tersebut berkata.

Imam tersebut menjawab, "Wang tersebut bukan milik saya, sebagai seorang muslim saya perlu berlaku jujur."

Pemandu bas tersebut tersenyum, dan berkata, "Sebenarnya saya sengaja memberi wang baki yang lebih sebanyak 20 sen ni, saya nak uji kejujuran kamu wahai Imam. Saya sudah berkali-kali berfikir untuk memeluk Islam."

Imam tersebut turun dari bas dan seluruh jasadnya menggigil dan kesejukan. Imam tersebut berdoa sambil menadah tangan, "Astaghfirullah!!!Ampunkan daku Ya Allah... Aku hampir-hampir menjual harga sebuah Iman dengan 20 sen!!!"

Sahabat-sahabatku sekalian...
Apa yang anda dapat daripada peristiwa di atas? Ingatlah.. kita mungkin tidak melihat dan tahu kesan tindakan kita terhadap orang lain. Kadang-kadang manusia akan menganggap kita sebagai tingkap untuk melihat ke dalam dunia Islam.
Sesungguhnya pada diri Rasulullah s.a.w. itu terdapat contoh teladan yang baik.


Sumber asal: iluvislam