17 Disember, 2011

~SAAT BERPISAH~

بسم الله الر حمن الر حيم
السلام عليكم ورﺤﻤﺔ الله وبرﮑﺘﻪ


     Saat perpisahan itu pasti tiba. Dan tidak ada masa yang sesuai untuk saat itu. Kita datang tidak diminta,kita pulang tidak diduga. Bila sanggup hidup mesti sanggup mati. Bila sanggup datang mesti sanggup pulang. Kita hanya menghabisi bilah-bilah hari yang telah ditentukan. Tujuan ke sini untuk diuji… tiba masanya pasti kembali!


     Mengapa terlalu enggan untuk berpisah? Nikmat sangatkah dunia ini? Padahal susah senang bertukar ganti, suka dan duka datang dan pergi. Tidak ada yang kekal lama, semuanya bersifat sementara. Jika mati tidak memisahkan, kesenangan ini akan pergi jua.


     Kata mereka yang arif tentang kehidupan:


“Manusia lahir bersama tangisan, dicelahi kehidupannya oleh tangisan dan akan dihantar ke pusara dengan tangisan.”


     Pernahkah ada kesenangan yang abadi dan hakiki? Tidak ada. Justeru hiduplah berpada-pada. Hiduplah bagai musafir lalu yang singgah bagaikan dagang di rantau orang. Hatinya tetap merindui kampung halaman. Hiduplah bagai orang yang sedang menyeberangi jambatan. Tidak sudi berlama-lama di situ kerana di situ hanya sementara. Kakinya melangkah kencang justeru jiwanya sudah ada di seberang.


     Hidup mesti sederhana kerana dunia ini sementara. Sederhana itu bukan pada ringgit atau harta tetapi pada jiwa dan rasa. Jangan terlalu gembira, jangan juga terlalu berdukacita.


     Tidak ada kesenangan yang tidak diiringi kesukaran dan tidak ada kesukaran yang tidak diiringi kesenangan. Selepas ketawa, pasti menyusul air mata. Selepas nestapa, pasti kegembiraan menjelma. ALLAH memberikan kita terang untuk bersyukur. ALLAH berikan gelap untuk kita bersabar. 


     Jadilah insan lara yang temannya mujahadah dan taubat. Sentiasalah berusaha menjadi insan yang baik walaupun digamit oleh ghairah kejahatan dan dosa. Jatuh, bangun kembali. Jatuh, bangun lagi.


     Ukirlah seribu taubat walaupun telah berkali-kali ia dimungkiri. ALLAH tidak akan jemu dengan taubat hamba-NYA selagi kita tidak putus asa kepada-NYA. Tempuhi jalan mujahadah walaupun langkahmu pernah goyah. Jangan mengalah. Kau tidak akan kalah selagi tidak mengalah. 


     Luruskan jalan menuju TUHAN dengan tulusnya hati sesama insan. Elakkan hasad, jauhi mengumpat. Jika tidak mampu menambah, jangan mengurang. Jika tidak mampu menjulang, jangan menghalang. Ingat selalu kata hukama:

“Jika tidak mampu menjadi garam yang memasinkan ikan, jangan jadi lalat yang membusukkannya.”


     Jika tidak mampu mengucapkan perkataan yang baik, banyakkan diam. Jika memberikan nasihat terlalu berat, cukuplah dengan menghulurkan doa dan munajat. Setiap kita mempunyai kelebihan. Kata orang, TUHAN tidak mencipta manusia bodoh. TUHAN mencipta manusia dengan kebijaksanaan yang berbeza.


     Justeru, carilah apakah ‘kebijaksanaan’ itu kerana itulah saluran untuk kita berbakti. Ketika rasa takut singgah oleh kebimbangan dijemput maut… katakanlah pada diri, bila kita berhadapan dengannya kita akan lupa segala-galanya. Kesayangan yang kita takutkan kehilangannya, kecintaaan yang kita bimbangkan berpisah dengannya, akan menjadi sedebu apabila berhadapan dengan detik itu. 


     Kita akan terlupa jalan yang telah jauh kita tinggalkan di belakang kerana mamandangkan jalan yang lebih jauh merentang di hadapan. Nikmat di dunia akan kita lupakan sebaik sahaja melihat azab di akhirat. Dan azab di dunia akan kita lupakan setelah melihat nikmat di akhirat.


     Sesungguhnya mati itu bukan satu pengakhiran tetapi ia satu permulaan kepada kehidupan yang lebih sejati dan hakiki. Mati itu hanya proses perpindahan- dari alam dunia ke alam barzakh. Sama seperti kelahiran- proses berpindah dari alam rahim ke alam dunia.


     Ya, kalau sanggup datang mesti sanggup pulang. Hati sewajarnya sentiasa berasa bertemu tak jemu, berpisah tak gelisah. Bukankah kita bertemu untuk berpisah? Dan berpisah untuk bertemu? Semoga kembara kita di dunia akan tiba bersama di hujung destinasinya… syurga!

Pada kita, cuma pasrah…


Ustaz Pahrol Mohd Juoi- DI MANA DIA DI HATIKU?

12 September, 2011

~Matlamat Hidup Manusia~

بسم الله الر حمن الر حيم
السلام عليكم ورﺤﻤﺔ الله وبرﮑﺘﻪ 


Matlamat  dan peranan manusia dalam hidup telah dijelaskan oleh aqidah Islam sejelas-jelasnya. Manusia tidak dijadikan sia-sia dan dibiarkan begitu sahaja. Ia dijadikan untuk tujuan dan hikmah tertentu. Ia tidak dijadikan untuk dirinya, atau menjadi hamba kepada salah satu unsur dalam alam ini. Ia juga tidak dijadikan untuk berseronok sebagaimana binatang-binatang berseronok. Bukan juga dijadikan untuk hidup beberapa tahun yang pendek atau panjang kemudian ditelan tanah, dimakan ulat dan dimamah oleh kebinasaan.


        Sesungguhnya ia dijadikan untuk mengenal dan menyembah Allah serta menjadi khalifah di bumi. Ia memikul amanah yang terbesar alam hidup yang pendek ini, amanah taklif dan tanggungjawab. MAnusia ditapis dengan dugaaan dan digilap dengan tanggungjawab. Dengan itu ia menjadi matang dan bersedia untuk kehidupan yang lain, iaitu kehidupan yang kekal selama-lamanya tanpa penghujung.


      Manusia tidak dijadikan untuk dirinya sendiri, tetapi ia dijadikan untuk menyembah Allah. Ia tidak dijadikan hanya untuk hidup di dunia yang kecil dan binasa ini, tetapi ia dijadikan untuk kehidupan yang kekal abadi, Ia dijadikan untuk selama-lamanya.


       Ada orang berkata: “Si bodoh hidup kerana mahu makan manakala orang berakal makan kerana mahu hidup.” Penyataaan ini tidak menyelesaikan masalah kerana hidup itu sendiri bukan satu tujuan, persoalan masih ada, kenapa manusia hidup?


      Adapun para materialisme menjawab: “Sesungguhnya manusia hidup untuk dirinya sendiri dan mengecapi nikmat dunia.”

     Manakala orang  beriman menjawab: “Manusia hidup hanya kerana Tuhannya yang Maha Tinggi dan untuk hidupnya yang kekal abadi.”  

Firman Allah SWT:


“Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu(dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami? Maka (dengan yang demikian) MAha Tinggilah Allah yang menguasai seluruh alam, lagi yang tetap benar.”

(Al-Mukminin: 115-116)



      Alangkah besarnya perbezaan antara orang yang hidup untuk dirinya dengan orang yang hidup untuk Tuhannya, di antara orang yang hidup di dunia yang terbatas dengan orang yang hidup untuk kehidupan yang tidak terbatas dari segi zaman dan tempat.



      Sesungguhnya teori kebendaan yang mengingkari Tuhan tidak mengetahui matlamat hidup manusia, kerana matlamat perlu kepada niat dan niat pula perlu kepada orang yang berucap. Sedangkan teori ini menolak manusia itu dijadikan dengan maksud tertentu. Kerana itu manusia pada pandangannya tidak mempunyai peranan dan tugas selain dari bertungkus lumus untuk memenuhi dan memperbaiki kehendak hidup.



        Dengan perkataan lain, manusia hidup kerana perhiasan dunia dan keseronokan, tidak lebih daripada itu. Apabila usia manusia tamat dalam masa yang pendek maka berakhirlah segala-galanya. Alangkah benarnya perkataan Al-Quran

“Katakanlah, harta benda yang menjadi kesenangan di dunia ini adalah sedikit sahaja.”

(Al-NIsaa’:77)



(Dr Yusof Al-Qaradhawi, Kemanisan Iman (Terj), 2000, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Kuala Lumpur, ms 111-112)

27 Ogos, 2011

~Kembali kepada Fitrah dalam Sambutan Aidilfitri~

بسم الله الر حمن الر حيم
السلام عليكم ورﺤﻤﺔ الله وبرﮑﺘﻪ 

Kala ini, Ramadan yang penuh barakah bakal berakhir dan Syawal pula menjelma. Dengan ketibaan Syawal yang mulia ini membawa bersama perayaan umat Islam iaitu Hari Raya Aidilfitri. Pada hari raya ini kita disunatkan untuk banyak bertakbir, bertahmid dan bertasbih bersempena meraikan kejayaan kita melawan hawa nafsu di sepanjang bulan Ramadan.


Pada masa yang sama kita juga perlu merenung adakah kita benar-benar memahami akan hikmah sambutan hari raya aidilfitri. Aidilfitri itu sendiri merujuk kepada hari raya fitrah, yakni meraikan kejayaan kita untuk kembali kepada fitrah. Dan manusia secara fitrahnya itu dilahirkan dalam keadaan suci bersih jiwanya serta cenderung ke arah kebaikan.


Maka titik pertemuan kita dengan Syawal ini seharusnya mencetuskan perubahan dalam diri kita ke arah kebaikan. Kita perlu menginsafi bahawa bulan Ramadan yang bakal meninggalkan kita merupakan medan latihan terbaik untuk membuat peningkatan diri. Pemanfaatan Ramadan dengan sebaiknya akan tercermin dalam diri kita walaupun setelah ia berlalu.
Jika sebelum Ramadan dahulu kita sering meninggalkan solat maka biarlah ketika dan sesudah Ramadan ini kita sering menjaga solat kita.
Jika dahulu kita agak keberatan selalu bersedekah maka harapannya selepas ini kita dapat menjadi lebih pemurah. Jika dahulu kita begitu sukar hendak meninggalkan tabiat merokok, maka kini moga-moga kita berjaya berhenti merokok. 


Begitulah harapan kita terhadap tarbiyah Ramadan yang telah kita lalui ini. Perjuangan kita melawan nafsu selama sebulan ini seharusnya berhasil menyucikan diri daripada tabiat buruk serta sifat-sifat mazmumah.
Justeru itulah yang dikatakan kembali kepada fitrah iaitu asal kejadian manusia yang cenderung ke arah kebaikan.


Sepinya masjid dan ‘prayer room’


Sememangnya dalam menyambut Aidilfitri ini ramai di antara kita yang sudah mula membuat persiapan serta tidak ketinggalan ada yang sibuk menyiapkan tugasan-tugasan universiti. Namun keghairahan menyambut Hari Raya ini seakan-akan mencuri tumpuan kita daripada memanfaatkan baki Ramadan yang masih tinggal.


Kedapatan ‘prayer room’ dan bilik tempat solat yang kelihatan jumlah saf solat tarawihnya semakin berkurangan. Malam-malam terakhir Ramadan ini terisi dengan aktiviti membuat kuih raya serta pelbagai lagi juadah. Namun kita tidak seharusnya lupa akan ganjaran beribadat dalam sepuluh malam terakhir Ramadan ini. Rasulullah s.a.w. sendiri melipatgandakan ibadah malam baginda dalam tempoh waktu sedemikian. Insya-Allah sekiranya kita konsisten beribadat di sepanjang malam Ramadan ini maka kita bakal bertemu dengan lailatul qadar yang lebih baik daripada 1,000 bulan.


Aidilfitri: antara adat dan ibadat


Di kala Hari Raya nanti masing-masing dengan pakaian yang terbaik tanda kegembiraan kita menyambut raya. Setelah menunaikan solat Hari Raya kita akan pulang ke bilik kita dan menikmati juadah, bermaaf-maafan serta menziarahi sahabat-handai. 


Adakah bentuk sambutan yang kita bakal lalui sekadar berlegar dalam kerangka adat dan budaya sahaja? Bagaimanakah cara sambutan Hari Raya dapat dibentuk menurut acuan ibadah? 


Persoalan sedemikian seharusnya bermain di fikiran kita dalam usaha kita menjadikan Aidilfitri ini lebih bermakna buat kita sebagai hamba Allah.
Kini timbul kecenderungan baru para remaja menyambut hari raya dengan menonton wayang, atau sekadar berpeleseran tanpa tujuan. Segelintir remaja pula menyambut cuti raya dengan mengunjungi pusat hiburan. Ada pula yang lebih selesa memerap di bilik bermain ‘game’ atau sekadar melayari ‘internet’ tanpa tujuan ataupun tidur sahaja.
 

Sambutan yang terlalu berunsurkan hiburan seakan menjalari golongan remaja kita masa kini. Tidak salah untuk berhibur asalkan tidak melanggar batas syarak dan sesuai masanya serta tidak melekakan. Namun kita perlu merenung bagaimana mengisi sambutan Aidilfitri ini agar dapat mencerminkan kembalinya kita kepada fitrah.


Selain itu, kita perlu meningkatkan kesedaran kita untuk kembali mengeratkan tali silaturahim antara sesama Muslim khususnya keluarga terdekat. Berada di perantauan tidak bermakna hubungan kekeluargaan tidak dapat dieratkan. Dengan kewujudan teknologi masa kini, segala elemen boleh digunakan oleh kita untuk tujuan yang murni ini. Pada ketika hari raya inilah peluang terbaik untuk saling menziarahi dan mengenali sahabat-handai kerana masing-masing berkumpul untuk bersama menyambut hari raya. 


Ibadah puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal ini juga adalah amat digalakkan untuk dilaksanakan. Ternyata ibadah puasa dalam Islam mempunyai kesinambungannya dan merujuk bahawa perjuangan menahan nafsu tidak pernah mempunyai titik noktahnya selagi nyawa dikandung badan.
                                                

Kesimpulan


Kesimpulannya, kehadiran Syawal yang mulia ini menuntut kita bermuhasabah diri sejauh mana kita berjaya memanfaatkan bulan Ramadan yang bakal berlalu ini. Semoga latihan iman dan takwa yang kita jalani sepanjang Ramadan mencetuskan perubahan yang berkekalan dalam diri kita semua.