Kadangkala
kita mengidamkan sesuatu berlaku, tetapi yang lain pula yang terjadi.
Sebaliknya, ada yang kita tidak inginkan sama sekali, tetapi itu pula yang
berlaku.
Apabila
berlaku demikian hati kita pasti terusik. Sesal, kesal, marah dan kekadang
sangat kecewa. Jadi bagaimana kita harus
menghadapi situasi sedemikian dengan sebaik-baiknya?
Pertama,
kita perlu faham bahawa hidup ini ada peraturannya. Salah satu peraturannya
ialah apa yang kita hendak tidak semuanya akan dapat dicapai. Inilah ‘rules of
life” – sunahtullah. Siapa yang tidak mahu menerima hakikat ini … maka tidak
layaklah dia hidup. Misalnya, kalau kita main bola, kena gunakan kaki. Tidak
boleh gunakan tangan. Siapa yang hendak gunakan tangan juga, maka dia tidak layak
bermain bola.
Begitulah
juga dengan hidup ini. Hidup ini satu ujian. Tidak semua yang kita idamkan
dapat dikecapi. Yang kaya, kadangkala tidak sihat. Yang ternama, dimusuhi
orang. Yang sihat, terputus pula kasih-sayang. Inilah buktinya kita masih dan terus
kekal sebagai hamba Allah. Hamba dicorakkan oleh Tuhan-nya. Justeru, kita tidak
boleh memberontak, kenapa jadi begini? Kenapa gagal?
Jika itulah
yang selalu bermain-main di dalam fikiran Itu petanda tidak puas hati. Suara
berontak jiwa terhadap ketentuan Allah. Sedarlah bahawa kita hamba maka buatlah
kerja kita sebagai hamba. Tuhan dengan ketentuan-Nya. Jadi, apabila diuji…
katalah aku ini hamba Allah. Layaklah aku diperlakukan seperti hamba… Terusik
hati itu biasalah, kita lemah. Merintih juga hati di dalam. Tetapi jangan
sampai marah-marah, putus asa dan kecewa.
Apa yang
Allah tentukan kadangkala kelihatan negatif pada kita, tetapi lama kelamaan
kelihatan positif pula… Itulah yang dikatakan tadi, apa yang kita sangka buruk
kadangkala baik untuk kita. Begitu juga sebaliknya. Katalah, kita ingin
berjaya, tiba-tiba gagal. Bukan tidak berusaha… Kita sudahpun berusaha, tapi
gagal juga. Apa perlu dibuat lagi?
Sebaiknya
kita terima kegagalan itu, kita kaji sebabnya, kemudian kita berusaha lagi.
Rupanya dengan sebab itu, Allah beri kita kejayaan yang lebih besar lagi.
Contohnya, dalam pernigaan. Kita ingin keuntungan besar, tetapi yang kita dapat
hanya sedikit….
Namun,
kerana kegagalan itu kita berusaha lebih gigih… akhirnya beberapa tahun
kemudian keuntungan kita meningkat. Sedangkan ada orang lain yang pada mulanya
mendapat keuntungan yang besar… tetapi keuntungan tidak bertambah. Mengapa?
Kerana dia mula relaks, over confident sedangkan kita terpaksa bertungkus-lumus
akibat kegagalan yang pertama. ?
Bijak dan
baik sungguh aturan Allah. Benarlah
kata bijak pandai, kegagalan itu anak tangga kejayaan. Contoh lain,
ubat. Ubat itu pahit… kalau kita tidak faham, kita luahkan semula. Pahit, tidak
tertelan oleh kita. Tetapi kerana kita faham dan yakin itu ubat, maka kita
telan juga walaupun pahit. Hasilnya, kita sihat. Begitulah kita dengan sesuatu
yang negatif, akan bertukar jadi positif akhirnya jika kita pandai dan bijak
menanganinya. Jadi, dalam hidup kita harus belajar, yang pahit jangan cepat
diluahkan, yang pedih jangan segera dirungutkan… Sering ada kejayaan, kemanisan
yang lebih indah menanti selepasnya.
Dalam dunia
hari ini ada kelompok yang kuat berusaha tetapi longgar ingatannya kepada
takdir Allah. Dan ada pula golongan yang seolah-olah kuat kepercayaannya kepada
takdir Tuhan hingga melupakan usaha ikhtiar. Kita mesti bebaskan diri daripada
dua ektrem itu. Ekstrem pertama, bergantung kepada takdir kurang berusaha. Ini
tidak betul kerana Allah ada peraturan-Nya… yang dipanggil sunnahtullah.
Dalam
sunnahtullah, sesuatu perkara itu ada sebab dan akibatnya (cause and effect).
Untuk lulus kita perlu belajar. Kalau kita tidak belajar, kita tidak akan
lulus… kerana sunnahtullah sudah menetapkan begitu. Jadi tidak bolehlah kita
hendak berjaya hanya dengan berdoa, solat hajat dan minum air penawar sahaja.
Ini tawakkal tidak berbekal namanya.
Manakala
golongan kedua pula kuat berusaha tanpa bergantung kepada takdir. Dia percaya
pada usaha ikthiarnya sahaja, lansung tak bergantung kepada kudrat dan
iradat Allah. Ini salah. Kerana, usaha
kita itu walau bagaimana hebat sekalipun tidak akan memberi kesan jika Allah
tidak mengizinkan-Nya.
Justeru jika
dia berjaya, ia akan jadi orang yang sombong, lupa diri kerana disangkanya
kejayaan itu dari kepandainya. Manakala kalau dia gagal pula, dia akan kecewa,
dia putus asa. Jadi, berjaya pun rosak. Gagal pun rosak. Jadi, buat golongan
ini apapun hasil usahanya, kedua-duanya merosakkan!
Sebaik-baiknya
kita berusaha sungguh-sungguh dan kemudian bertawakkal – berserah kepada Allah.
Kata orang, hujung akal, baru tawakkal. Kalau beginilah sikap
kita, bila berjaya kita syukur. Kita tawadduk. Kita tidak sombong. Sebab kita yakin walaupun kita telah
berusaha, tetapi Allahlah yang memberi kejayaan kita.
Sebaliknya,
kalau kita gagal pula… kita tidak sakit jiwa. Sebab kita yakin Allah-lah yang
menggagalkan kita. Allah tahu kita telah berusaha, jadi bila digagalkan juga…
tentu ada hikmah yang tersembunyi. Kembalilah kita kepada ujian hidup seperti
yang diperkatakan pada awal tadi… ya kita hamba!
Ada kalangan
manusia yang apabila berjaya dia mengatakan, “ ini semua hasil usaha saya…” Wah
sombongnya. Sebaliknya jika gagal dia mengatakan, “semua ini sudah
takdir…”Tidak sayugianya kita berkata demikian. Sebenarnya, apabila kita
berjaya, itu takdir Allah. Kalau kita gagal pun itu juga takdir dari Tuhan.
Jika kita
katakan, kalau berjaya kerana kita, tetapi bila gagal kerana Tuhan… Itu tidak
beradab dengan Allah. Seolah-olah kita lebih bijak daripada Allah. Dengan kata-kata yang demikian, kita
merobek-robekkan sifat kehambaan kita. Bukankah Islam mengajar kita,
mengucapkan Alhamdulillah – puji bagi Allah apabila berjaya. Dan mengatakan
Innalillah – kita ini milik Allah apabila kita gagal?
Ya, syukur
dan sabar inilah pakaian kita. Dengannya, dapat atau tidak dapat, jadi atau
tidak jadi, hati tetap sama…kita tetap memiliki dan dimiliki Allah!
~Ustaz Pahrol Mohd. Juoi~
السلام عليكم ورﺤﻤﺔ الله وبرﮑﺘﻪ
0 komen:
Catat Ulasan