السلام عليكم ورﺤﻤﺔ الله وبرﮑﺘﻪ
Kebahagiaan, kesihatan dan kesenangan
merupakan sebahagian daripada kehidupan kita. Sebagai orang Islam,
mensyukuri nikmat Allah merupakan salah satu sifat Mukmin yang dituntut.
Hakikatnya, semua ini adalah anugerah daripada Allah kepada hambanya
samada ia seorang yang beriman ataupun tidak.
Apakah konsep kekayaan (Wealth) dalam Islam?
Kekayaan adalah amanah daripada Allah
yang mesti diuruskan dengan sebaik-baiknya. Konsep amanah ini
menunjukkan bahawa segala kekayaan yang dianugerahkan oleh Allah adalah
merupakan pinjaman semata di dunia ini. Walaubagaimanapun, yang Maha
Pemurah dan Maha Luas sifatnya memberikan kebebasan kepada hambanya
menggunakan nikmat ini untuk manfaat dunia dengan berpandukan Syariah.
Melaksanakan amanah ini dengan baik
bukan sahaja akan mendapat kesenangan duniawi, malahan Allah akan
memberikan ganjaran pahala sebagai bekalan di Akhirat nanti.
Selain itu, kekayaan adalah merupakan salah satu jalan menuju kejayaan. Ayat 10-12, Surah As-Saff yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah
kamu Aku tunjukkan suatu perdagangan yang dapat menyelamatkan kamu dari
azab yang pedih? (Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasulnya dan
berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik
bagi kamu jika kamu mengetahui. Niscaya Allah mengampuni dosa-dosamu dan
memasukkan kamu ke dalam surga yang mengalir dibawahnya sungai-sungai,
dan ke tempat tinggal yang baik di dalam surga 'Adn. Itulah kemenangan
yang agung."
Dengan memahami kedua-dua konsep
kekayaan dalam Islam ini, maka aspek perancangan kewangan perlulah
diberi perhatian. Melaksanakan perancangan kewangan yang baik dan
berkesan merupakan suatu Ibadah dengan tujuan menjaga Amanah daripada
Allah dan salah satu mehnah mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat
sepertimana janji Allah yang disebutkan diatas.
Seorang Muslim yang beriman itu adalah
baik, tetapi seorang Muslim yang beriman dan menggunakan kekayaan
anugerah Allah untuk kemaslahatan ummah adalah amat disukaiNya.
Sumber Asal : iluv islam
0 komen:
Catat Ulasan