بسم الله الر حمن الر حيم
Sahabat mempunyai kedudukan yang begitu khusus
dalam hati seseorang. Apa masalahnya apabila seseorang itu bersahabat
dengan lawan jenisnya? Bolehkah kita bersahabat dengan jejaka atau
sebaliknya?
Apabila berlaku persahabatan antara lelaki
dan wanita sesungguhnya tidak akan ada jaminan hubungan ini benar-benar
tulus dan murni. Sekurang-kurangnya, pasti ada harapan dan rasa
memiliki. Tidak kira pada si jejaka atau wanita atau kedua-duanya
sekali. Mesti ada kemungkinan walau pun pada kadar yang sedikit.
Hubungan seumpama ini mempunyai batas atau dinding yang teramat nipis.
Terlalu sukar dan rumit untuk membezakan adakah hubungan ini benar-benar
sekadar persahabatan atau sudah mula menjurus kepada saling mencintai
yang mengharapkan wujudnya hubungan hati dan fizikal. Suatu yang amat
sukar dihindari untuk suka yang lebih dari sekadar sahabat. Maka mulalah
si jejaka atau wanita itu mengangan-angankan “Kalaulah dia menjadi
pendamping dalam hidupku”. Ketika inni sesungguhnya “tazyin syaitan”
telah berjaya memainkan peranannya. Bisikan indah dari musuh utama dan
pertama (syaitan) telah merempuh masuk ke dalam hati yang telah sedia
ada dalam keadaan lemah dan longgar pertahanannya.
Berhentikan Proses Seterusnya!
Oleh
itu, para muslimin dan muslimat yang dihormati, jika perkenalan kita
sudah berubah menjadi simpati segeralah disusuli dengan pernikahan jika
mahu proses persahabatan berlanjutan. Inilah persahabatan yang ideal.
Manakala persahabatan di luar akad pernikahan bukanlah persahabatan ala
sahabat (Rasulullah SAW).
Sebagaimana yang terjadi
antara Ali dan Fatimah. Setelah pernikahan antara Ali dan Fatimah, maka
Fatimah pun berterus terang kepada Ali. “Wahai Ali, sebelum aku bernikah
dengan engkau di Kota Mekah ini, ada seorang pemuda yang menjadi idola
di hatiku. Aku sangat inginkan kelak dia menjadi suamiku. Tapi semuanya
itu aku simpan di dalam hatiku.” Kata Fatimah. “Kalau begitu engkau
menyesal menikahi aku? Tanya Ali. “Tidak, kerana pemuda itu adalah
engkau.” Jawab Fatimah.
Oleh itu, di dalam Islam kita
dibenarkan menilai dan menyukai pemuda yang soleh namun ia tidak
diluahkan dan memadai disimpan di dalam hati. Sesungguhnya cinta itu
boleh ‘menghinggapi sesiapa sahaja’ termasuk orang yang beriman atau
para pendakwah. Apabila batas-batas pergaulan dan percampuran antara
lelaki dan perempuan dilanggar, proses persahabatan sebegini akan terus
bergulir dan tak mungkin dihindari. Oleh itu tidak mustahil jika para
pendakwah lelaki dan perempuan juga turut terjebak untuk saling
rindu-merindui…..
Sudah terlanjur digosipkan….
Pengendalian
diri ketika percampuran antara lelaki dan perempuan adalah suatu yang
abstrak. Kita tidak mampu mengukurnya. Hanya Allah sahaja yang Maha
Mengetahui. Adakalanya, kita berjauhan dari segi fizikal tetapi hati
‘berdegup’ hebat. Ada juga yang fizikalnya berdekatan tetapi hatinya
biasa sahaja. Namun ini bukan bermakna kita dibolehkan untuk bergaul
bebas.
Bagaimana pula jika sudah terlanjur digosipkan,
daripada fitnah, baik nikah sahaja. Inilah salah satu kesilapan besar.
Ia bukanlah keputusan bijak. Tindakan yang diambil dengan menikahi rakan
tersebut akan membenarkan sangkaan dan tohmahan orang selama ini.
Tindakan sewajarnya yang mesti diambil adalah segera hentikan hubungan
tersebut. Jauhilah fitnah dengan mengendalikan hati, namun ketika hati
tak terkendalikan jagalah jarak fizikal. Hindarilah perkara-perkara yang
mengundang fitnah seperti memberikan hadiah, sering berdua-duaan,
sering telefon dan seumpamanya.
Jangan Terperangkap
Hati
manusia memang mudah berubah. Pagi kata benci petang pula kata rindu.
Sesungguhnya hati merupakan bejana yang paling penting. Ia merupakan
kunci segala-galanya. Hati mestilah dikendali dengan sebaik-baiknya.
Manakala pandangan pula titik langkah awal yang amat perlu diawasi
kerana dari ‘mata jatuh ke hati’.
Sebagaimana yang
berlaku pada Ibnu Abbas, ketika menunaikan haji tergoda melihat seorang
wanita, maka spontan Nabi SAW menegur dan memalingkan pandangannya dari
wanita tersebut. Lalu bersabda:”Jangan kau ikuti pandangan itu dengan
pandangan yang lain.”
Ketika inilah peranan iman yang
kuat serta aktiviti “tazkiyatun nafs” (penyucian jiwa) perlu dimainkan.
Di saat iman sedang merudum, sebaik-baiknya, minimakanlah aktiviti yang
melibatkan lawan jenis. Walaupun dalam aktiviti keislaman, yang perlu
dijaga adalah diri dan keimanan bukan sekadar jarak sehingga tidak
berkomunikasi. Ingatlah, jangan sekali-kali ketika mengibarkan bendera
kegiatan Islam dalam masa yang sama menjatuhkan Islam.
Sesungguhnya
Allah itu Maha Mengetahui kelemahan insan. Lalu Dia telah mengingatkan
orang yang beriman serta umat Islam seluruhnya agar menjaga pandangan
dengan firman-Nya: “Katakanlah kepada orang-orang beriman lelaki, supaya
mereka menundukkan pandangan dan menjaga kehormatan. Itu lebih suci
bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa-apa yang mereka
usahakan. Katakanlah kepada orang-orang beriman perempuan, supaya mereka
menjaga kehormatannya dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasannya,
kecuali apa yang biasa lahir daripadanya…..” (an-Nur:31-32)
Mencegah
itu lebih baik dari mengubati. Jagalah batas-batas pergaulan agar tidak
terlanjur memendam rasa. Berusahalah membataskan komunikasi dengan
urusan-urusan yang penting, jangan sekali mencari alasan dan agenda
untuk bertemu. Jangan sekali membuat agenda baru agar dapat berinteraksi
kembali. Sesunguhnya jika ini tidak dikawal ia merupakan permulaan
tidak berdisiplinnya kita dalam mengamalkan Islam.
~perkongsian~
السلام عليكم ورﺤﻤﺔ الله وبرﮑﺘﻪ
sehingga berjumpa lagi........jadilah warga Malaysia yang Cemerlang....
07 November, 2012
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)

0 komen:
Catat Ulasan